Isnin, 12 Mac 2012

SOMBONG ITU PUSAKA IBLIS ~

SOMBONG itu pusaka iblis. Siapa yang suka mempusakai perangai iblis? Tentunya semua orang tidak suka! Tapi mengapa sombong masih menjadi amalan kita serta sangat sukar dihindari?
Pada zaman Sayidina Umar RA menjadi khalifah, seorang Badwi telah datang mengadu kepadanya kerana merasakan dirinya dihina dan dianiayai. Sewaktu tawaf di Kaabah, Arab Badwi itu secara tidak sengaja telah terpijak pakaian orang dihadapannya. Rupanya orang itu raja daripada suku kaum Arab yang baru saja memeluk Islam.
Raja itu hampir tersungkur, apabila jubahnya terpijak. Marahnya bukan kepalang lebih-lebih lagi apabila mendapati orang yang memijak itu orang Arab Badwi. Lalu dia memaki hamun, menghina, mencela dan menempeleng Badwi itu sehingga berdarah. Begitulah dia melepaskan ego sehingga puas hatinya. Tidak setimpal pun dengan kesalahan Badwi itu.
Dia sombong kerana dia raja, dia orang besar, dia mahu dihormati, bukan dipijak-pijak jubahnya (walaupun tidak sengaja, dia tidak dapat memaafkannya). Lukalah hati si Badwi itu lalu diadukan kepada Sayidina Umar. Si raja itu dipanggil dan disoal siasat. Bertambah beranglah raja tersebut apabila diperbuat begitu. Dia rasa terhina kerana khalifah lebih mengutamakan aduan seorang Badwi daripada memuliakan kedudukannya sebagai raja.
Khalifah Umar yang terkenal tegas dan adil kepada semua rakyat itu tanpa memilih bulu telah menjatuhkan hukuman kepada raja itu "Kamu telah berbuat salah kepadanya. Sesiapa yang menampar mesti dibalas dengan penampar juga, kecuali memaafkan. Pergilah kamu kepadanya."
Tapi raja tersebut tidak sanggup berbuat demikian. Dia tidak sanggup menyerahkan dirinya diperlakukan oleh Badwi itu. Dia tidak sanggup untuk menundukkan egonya itu. Akhirnya dia kembali murtad serta terus bergabung dengan musuh Islam untuk memerangi Islam. Begitulah kalau ego tidak dapat ditundukkan, kita mungkin senasip dengan raja tadi, menjadi musuh Islam yang paling keras walaupun mulut mengaku Islam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan